UMNO Ucapkan Tahniah Kepada Kerajaan Baru Dan Memberi Amaran Kepada Mereka

Umno mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas pembentukan Kabinet baharu yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

AMARAN DIBERI KEPADA KERAJAAN

Bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Presiden Umno memberi amaran bahawa Umno akan memerhatikan setiap langkah dan tindakan kerajaan baharu ini.

“Kami sebagai pembangkang akan membangkang secara konstruktif dan melihat pelaksanaan semua janji yang termaktub dalam manifesto pilihan raya dikemukakan mereka.

“Umno dan BN secara keseluruhannya merasakan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tentulah rakyat harap semua janji mereka terutama 100 hari pertama dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, hari ini.

Katanya, Umno juga telah berbincang mengenai peranan yamg akan dimainkan oleh 54 ahli parlimennya.

“Kami bincang bagaimana untuk kami bergerak ke hadapan dan pastikan rancangan yang disusun dapat dilaksanakan,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN

Raja Perlis tentukan Menteri Besar

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan memutuskan siapa individu yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Perlis.

Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah mengadakan perbincangan dengan baginda di Istana Arau, pagi tadi.

“Kami sudah mengadap Raja Perlis dan tuanku akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan yang sudah dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.

Turut sama beliau dalam pertemuan dengan Raja Perlis siang tadi adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Pagi tadi, kedua-duanya tiba bersama di Istana Arau menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Datuk Seri Azlan Man yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu pada Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.

SUMBER : HMETRO ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *