Pengantin Lelaki Hello Kitty Ini Dedahkan Sesuatu Terjadi Sebelum Upacara Persandingan Yang Buat Dia Terkilan

PETALING JAYA: Selepas gambar pasangan mempelai ‘Hello Kitty’ tular di media sosial, ramai yang memuji kesanggupan pengantin lelaki menuruti permintaan isterinya untuk menggayakan busana itu.

Tidak kurang juga ada netizen yang kagum dengan pengantin lelaki yang masih mampu tersenyum ikhlas walaupun tema yang dipilih si isteri adalah watak kartun Jepun yang rata-rata peminatnya di seluruh dunia adalah golongan wanita.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya!

Idea asal untuk menggayakan persalinan serba merah jambu dengan gambar Hello Kitty itu sebenarnya adalah daripada pengantin lelaki, Ismail Isahak, manakala isterinya Sakirah Md Zain hanya menuruti sahaja konsep tersebut.

“Nampak dia (Hello Kitty) tu comel je, tapi tidaklah bermakna saya meminatinya secara spesifik.

“Saya suka sesuatu yang pelik dan unik,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Busana ini dihasilkan sendiri oleh pasangan pengantin. -foto Cahaya Pictures Studio

Menurut Ismail, 27, keluarga mereka juga tidak mempunyai halangan dengan tema tersebut, malah memberi sokongan untuk pasangan berkenaan menggayakannya pada hari bahagia mereka.

Kata jurugambar sambilan itu, idea tersebut dirancang sebulan sebelum majlis perkahwinan, namun tempoh persediaan itu tidak mencukupi untuk menguruskan segala urusan menjelang hari bersejarah mereka.

Apa yang melucukan, Ismail mengakui dia merajuk apabila baju Melayu dengan gambar Hello Kitty yang sepatutnya dipakai tidak sempat disiapkan, menyebabkan dia terpaksa menyarung baju Melayu kosong rona merah jambu.

“Sebenarnya, saya yang teruja nak pakai baju Hello Kitty, tapi baju pengantin lelaki tidak siap-siap.

“Pagi tu saya merajuklah juga kerana tiada baju corak Hello Kitty, jadi saya siapkan samping untuk dipadankan dengan baju Melayu kosong itu,” ujarnya dengan nada berseloroh.

Sementara itu, Sakirah, 29, berkata, pada asalnya tema Hello Kitty itu ingin digunakan semasa majlis perkahwinan adiknya, namun tidak diterima.

Ismail dan Sakirah diijab kabulkan pada 18 Ogos di kediaman pengantin perempuan di Ulu Tiram, Johor. -foto Cahaya Pictures Studio

“Sebenarnya, nak buat untuk adik saya, tapi dia seperti tidak berminat. Jadi, kami buat untuk majlis perkahwinan sendiri.

“Suami yang cadangkan sebab dia seorang yang sukakan sesuatu yang unik,” kata pemilik butik perkahwinan Eira Zain Bridal itu.

Tambah Sakirah, suaminya memang menyukai sesuatu yang berseni terutamanya kesenian Melayu seperti wau.

Ismail juga pernah mewakili Malaysia ke Festival Layang-Layang Sedunia yang diadakan di Taiwan pada tahun lalu.

Pasangan tersebut berkenalan di sebuah majlis perkahwinan pada Disember 2016 dan kemudian diijab kabulkan di kediaman pengantin perempuan di Ulu Tiram, Johor pada 18 Ogos lalu.

Ketika ditanya sama ada mereka akan menjual busana Hello Kitty tersebut, Ismail berkata, mereka tidak berhasrat untuk menjualnya tetapi sedia menerima tempahan jika ada pelanggan mahu memiliki rekaan yang sama.

SUMBER : MSTAR ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *