Komen Jujur Micheal Ang Tentang Neelofa Selepas Isu Tudung Zouk Terjadi

KUALA LUMPUR: Kontroversi hebat melanda pelakon yang juga pengacara sensasi, Neelofa, tidak menghalang beliau melunaskan baki penggambaran drama bersiri, Ti Amo Sweetheart 100 Hari, dengan baik.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengarahnya, Michael Ang, yang sebelum ini sudah beberapa kali bekerja dengan wanita turut bergelar usahawan terkenal itu.

Menurut Michael, Neelofa memberikan kerjasama terbaik dalam melangsaikan penggambaran naskhah yang diangkat daripada novel tulisan Suri Ryana terbabit.

“Neelofa seorang yang sangat profesional dan masih boleh bekerja macam biasa. Bahkan, dia kelihatan ceria saja di lokasi penggambaran.

“Dia sememangnya seorang pelakon yang tahu apa boleh ditunjukkan di lokasi dan sebaliknya,” kata pengarah terbabit kepada BH Online.

Cuma kata Michael, ketika berborak kosong di belakang kamera, Neelofa mengaku terkilan dengan kontroversi yang berlaku.

Baru-baru ini, Neelofa menjadi bualan hangat kalangan netizen termasuk golongan agama apabila bertindak melancarkan koleksi tudungnya di sebuah pusat hiburan terkemuka di ibu kota.

“Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Begitu juga dengan Neelofa,” katanya yang sebelum ini bekerjasama dengan pelakon itu menerusi Suri Hati Mr Pilot.

Bercerita lanjut mengenai drama lima episod yang julung kali menggandingkan Neelofa dan Zul Ariffin itu, Michael mengakui, kedua-duanya dengan mudah mencipta keserasian.

Dalam drama terbabit, kedua-duanya berlakon sebagai pasangan suami isteri yang terpisah, selain berdepan konflik kehilangan anak yang diculik.

“Memang kebanyakan pelakon akan mengambil sedikit masa untuk mencipta keserasian. Ia bukanlah perkara asing dalam lakonan.

“Seperti juga Zul dan Neelofa, mereka agak janggal untuk beraksi di depan kamera pada hari pertama penggambaran diadakan. Apatah lagi tidak banyak babak membabitkan mereka berdua ketika itu. Namun, masuk saja hari kedua dan seterusnya, mereka mula mendapat rentak dan selesa berlakon bersama,” katanya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

Terlanjur kata, Michael Ang mohon maaf

Pengarah Michael Ang memohon maaf berhubung kenyataannya yang dianggap mempersendakan Islam dalam satu video di Instagram hingga mengundang kemarahan netizen.

Michael berkata, dia tidak berniat menyakiti hati mana-mana pihak, apatah lagi mempersoalkan mengenai amalan agama yang menjadi isu sensitif kepada ramai.

“Saya meminta maaf kepada semua dan apa yang berlaku, saya ambil sebagai ujian atas keterlanjuran kata-kata.

“Tidak terdetik di hati untuk saya menghina sesiapa. Mungkin cara penggunaan bahasa yang salah ketika berbicara, membuatkan orang marah,” katanya menerusi satu catatan di Instagram.

Terdahulu, pengarah drama Suri Hati Mr Pilot itu turut memuat naik video pendek di laman sosial yang sama untuk menyatakan permohonan maaf, semalam.

Pada masa sama, Michael menyatakan, dia juga sudah memaafkan individu yang mengutuk dan menghinanya.

“Kepada sesiapa yang memberi komen menghina dan berbahasa kasar, saya maafkan. Kalau benar-benar alim, mereka tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya lagi.

Terdahulu, Michael memuat naik video untuk berkongsi pendapat berkaitan isu pelancaran koleksi tudung terbaru Neelofa di sebuah pusat hiburan di ibu kota, baru-baru ini.

Tegasnya, jangan kerana sering menghasilkan karya drama dan filem Melayu, dia boleh memberi komen yang menyentuh hal ehwal agama Islam.

Michael menganggap isu itu tidak sepatutnya diperbesarkan dan dalam nada sinis mendakwa, mungkin tiada masalah jika dia mahu sewa pusat hiburan itu untuk mengadakan majlis tahlil.

Kenyataan Michael itu membuatkan netizen menyelar kerana berpendapat, sebagai penerbit dan pengarah yang banyak menghasilkan drama Melayu, dia sepatutnya sensitif dan tidak memberikan komen sedemikian.

Susulan kenyataan Michael itu, komposer dan penyanyi kumpulan VE, Damian Mikhail menyelar tindakannya selain berharap, dia tidak lagi memberi komen yang boleh menyinggung perasaan umat Islam.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *