Bung Mokhtar Anggap Ini Satu Konspirasi Untuk Jatuhkan Dia Walaupun Perkara Sebelum Itu Sudah Berakhir

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan tindakan kerajaan mengemukakan usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebagai janggal, seolah-olah tidak mengiktiraf dan melangkaui keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Bung Moktar berkata, kerajaan seolah-olah bertindak berat sebelah dan meminta supaya diberi layanan lebih adil.

“Ada juga penyokong kerajaan mengeluarkan perkataan tidak sopan tetapi tidak diambil tindakan.

“Saya sudah minta maaf dengan ikhlas dan menarik balik perkataan kurang sopan itu.

“Speaker terima dan memberi saya amaran, maka mengapa perlu ada usul sebegini?” soalnya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengikut Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan mencadangkan ahli parlimen Kinabatangan itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatan yang dianggap menghina majlis.

Usul itu menyatakan, Dewan memandang serius perbuatan Bung Moktar kerana penggunaan perkataan kurang sopan olehnya menyinggung ahi parlimen terutama wanita kerana mencemari prestij dan nama baik Dewan.

Walaupun notis tersebut tidak menyatakan sifat sebenar kesalahan itu, ia dipercayai berkaitan dengan kata-kata f***k oleh Bung di Dewan Rakyat pada 7 Ogos lalu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018.

Mengulas lanjut, Bung berkata tindakan kerajaan itu seolah-olah mengkepikan keputusan Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang ketika itu menerima permohonan maaf setelah beliau menarik balik perkataan yang dianggap menghina itu.

“Hari ini saya lihat ada usul (merujuk beliau ke jawatankuasa) akan diketengahkan kerajaan dan jika ada undi, memang kalahlah.

“Mengapa kerajaan mahu melangkaui kuasa speaker Dewan Rakyat? Dalam hal ini saya minta speaker Dewan Rakyat tegas menentukan hala tuju Dewan Rakyat.

“Mana-mana pihak tidak seharusnya melangkaui keputusan speaker hingga menjejaskan integriti Dewan Rakyat itu sendiri,” katanya.

SUMBER : MKINI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *