Bapa Bawa Anak Terjun Jambatan.. Netizen Pula Cuak Lebih Dari Bapa Dengan Anak Dalam Video

PETALING JAYA: Aktiviti ekstrem terjunan rope swing¬†atau tali hayun yang biasanya dilakukan orang dewasa kini bagai sudah ‘menjangkiti’ kanak-kanak apabila mereka turut teruja melakukan aksi tersebut.

Tarikan terkini aktiviti itu di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor tular gara-gara dua video yang menunjukkan seorang bapa dan anak kecil mereka melakukan aksi tali hayun itu.

Video pertama yang menunjukkan aksi berani bekas pemenang bintang realiti, Fear Factor Malaysia dan anak perempuannya berusia lebih dua tahun membuat terjunan membuatkan netizen lemah lutut dan ada yang meremang melihatnya.

Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho memuat naik video pengalamannya melakukan terjunan bersama anak sulungnya, Mecca Mikaela pada ketinggian 60 meter di sebuah jambatan mendapat perhatian netizen yang kagum dengan keberanian kanak-kanak itu.

Pengguna Instagram, @lea.olixz berkata: “Steady Mecca, Terkejut pada awalnya ingatkan tidak pakai peralatan keselamatan. Bergetar lutut melihatnya.”

Sementara seorang lagi netizen, @marissa_ayuni_halim berkata: “Aku pula yang meremang.”

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/03/18/mat-redho-tali-hayun/~/media/6fa71c341391404d8f6587c811a74443.ashx?h=372&la=en&w=620

Netizen mengagumi keberanian kanak-kanak berusia dua tahun itu kerana mencuba aktiviti tali hayun.
Bagi mengelak daripada berlaku kekeliruan, Mat Redho menjelaskan pada ruang kapsyen bahawa anaknya sendiri yang meminta untuk melakukan aktiviti tali hayun itu dan dia tidak pernah memaksa.

“Mecca sangat enjoy dengan terjunan pertama dan mahu lakukan sekali lagi tapi bapanya (Mat Redho) yang cuak.

“Mecca memakai safety harness (abah-abah keselamatan) yang lengkap. Restas Adventures adalah penganjur tali hayun yang bertauliah,” ujarnya.

Dalam video berasingan, seorang lagi bapa turut melakukan aktiviti tersebut bersama anak lelakinya di lokasi yang sama.

Sementara itu, pengasas Restas Adventures, Mohd Shafiq Azmi, 31, berkata, Mat Redho telah pun mengisi borang indemniti (lepas tanggung) sebelum melakukan aktiviti itu bersama anaknya pada pagi Sabtu.

“Aktiviti yang dilakukan oleh Mat Redho adalah selamat kerana ia sudahpun dinilai oleh beberapa agensi yang berkaitan dan ahli arbor bagi memastikan pokok yang ditambat benar-benar selamat digunakan.

“Tiada had umur dalam melakukan aktiviti ini, namun kami menetapkan berat minimum adalah 40 kilogram (kg) dan maksimum pula 120kg untuk seorang individu atau dengan pasangan,” katanya kepada mStar Online.

Kata lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu, video tersebut tular sekelip mata mungkin kerana aktiviti tali hayun itu baru diperkenalkan di negara ini, tetapi ia sudah ditawarkan di beberapa negara seperti New Zealand dan Nepal.

Harga pengenalan bagi satu hayunan adalah RM250, tetapi bernilai hanya RM300 untuk dua kali hayunan.


Sumber: Mstar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *