Atlet Paling Muda Ini Menjadi Tumpuan Di Sukan Asia 2018. Budak Kecil Ini Bukan Calang Calang Orangnya

Atlet Papan Selaju Dilatih Oleh Profesional Malaysia Joe Ipoh

Papan selaju: Pengalaman Joe Ipoh jadi panduan atlet muda negara 

Barisan atlet papan selaju negara menagih pengalaman yang dimiliki Johari Fitry Khairrudin atau turut dikenali sebagai Joe Ipoh yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih negara dalam Sukan Asia 2018.

Joe mempunyai legasi yang kuat dalam kalangan peminat sukan papan selaju tempatan apabila sudah berkecimpung selama 20 tahun dan menjadi antara perintis Malaysia ketika menyertai Asian X Games 1999 di Kuala Lumpur.

Kini, dia bertanggungjawab untuk memimpin barisan atlet muda negara dalam Sukan Asia memandangkan ini juga kali pertama sukan ekstrem seperti papan selaju disenaraikan dalam temasya ini.

“Saya akan curahkan ilmu yang ditimba dalam kejohanan-kejohanan besar yang saya pernah sertai.

“Saya akan memberi panduan mengenai selok-belok dan cara mendapatkan markah yang lebih tinggi kepada mereka,” kata Joe Ipoh menjelang hari saingan pada Selasa ini.

Empat pingat emas ditawarkan untuk sukan papan selaju dengan Malaysia akan menyertai kesemua acara street dan park untuk kategori lelaki dan wanita dengan mempertaruhkan empat atlet.

Berbanding Jepun yang dijangka akan mendominasi saingan serta persiapan rapi tuan rumah, Indonesia, yang menjalani latihan pusat di Amerika Syarikat (AS) selama tiga bulan, ia langsung tidak melemahkan semangat barisan atlet negara.

“Bagus ada kelibat Joe Ipoh di sini, dia banyak memberi tunjuk ajar dalam aspek kemahiran permainan, termasuk strategi pasukan dalam persembahan saya nanti,” kata atlet negara, Christina Lai Grace.

Tambah seorang lagi pemain papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi: “Saya akan cuba layak ke final. Bagi kategori lelaki pula, peserta Malaysia akan cuba mendapatkan medal.” – SUMBER : Stadium ASTRO

“Saya Tak Takut Lawan Dengan Orang Besar,” Ian Nuriman Amri, Atlet Papan Selaju Negara Paling Muda Kontijen Sukan Asia 2018

Atlet papan selaju negara, Ian Nuriman Amri mencuri tumpuan ketika membuat penampilan sulung pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 hari ini.

Walaupun gagal menandingi atlet papan selaju terkemuka di benua ini, atlet Malaysia berusia 11 tahun itu tetap menjadi perhatian khalayak yang terkejut melihat Ian, dengan ketinggian hanya sekitar 135 sentimeter memasuki gelanggang di Stadium SkateBoard, Bandar Sukan Jakabaring di sini.

Malah, sebelum ini beliau turut menarik perhatian di perkampungan sukan atlet di sini, apabila ramai terkejut mendengar ‘budak’ kecil’ itu bertanding pada temasya suka kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik.

Turun ke gelanggang dengan berpakaian jersi harimau, seluar berwarna biru gelap dan kasut hitam, atlet cilik itu menerima sorakan daripada penonton sebaik sahaja namanya disebut pengacara majlis dan setiap kali melakukan ‘tricks’.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila gagal melepasi pusingan kelayakan acara Park lelaki yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik tengah hari tadi, dengan perbezaan hanya 2.33 mata.

Ian menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada sepuluh peserta dengan mengumpul 49 mata, di belakang Xiaojun Xiang dari China yang meraih kedudukan kelapan, yang merupakan slot kelayakan terakhir ke final.

Dalam acara Street pula, Ian meraih tempat ke-12 dengan markah keseluruhan 17.8 mata dalam kalangan 18 peserta, sekali gus gagal mara ke final dalam acara berkenaan yang ditangguhkan lebih tiga jam berikutan hujan lebat.

“Saya sedikit pun tidak rasa takut pada hari ini kerana sudah biasa berlatih bersama ‘orang besar’. Saya bangga menjadi atlet paling muda, saya lihat saya paling kecil di sini.

“Tetapi terkilan tidak dapat masuk final. Cuaca pun sedikit mengganggu. Tapi okay sebab bukan menduduki tempat terakhir dan dapat belajar kemahiran baharu daripada atlet lain,” katanya selepas acara itu tamat. SUMBER : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *